Isnin, 13 Februari 2012

REZEKI DARIPADA ALLAH

Alhamdulillah syukur, kerana penat lelah selama ini berbaloi dengan hasil sarang burung walet yang pertama telah saya tuai pada Oktober 2011 yang lalu. Walaupun hasilnya tidak seberapa namun rasa kepuasan telah ada dalam diri ini. Hasil pertama sekitar 1 kg lebih. Dengan harga yang tidak stabil kini dan kualiti tuaian pertama yang masih rendah saya baru memperoleh RM2k lebih untuk sekilogram.
InsyaAllah sekitar bulan Mac nanti tuaian saya yang kedua akan menyusul. Melalui pengamatan, anggaran tuaian nanti sekitar 1 kg, InsyaAllah. Terubat juga hati apabila mengenangkan cakap-cakap orang yang memperkecil-kecilkan keupayaan bumiputera dalam penternakan burung walet ini.
Cabaran-cabaran dalaman dan luaran perlu dihadapi dengan tabah untuk terus berjaya. Jangan kita menyangka bahawa RBW ini sebagai pasif income sahaja, tetapi perlu melihat RBW ini sebagai satu cabang perniagaan dan pendapatan yang penuh dengan liku-likunya.
Buat mereka yang lebih baru daripada saya harap banyak bersabar dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar segala pekerjaan kita diberkati Allah dan melimpahkan rezeki yang lebih banyak. Kepada mereka yang telah lama dan mungkin yang telah bergelar jutawan walet, tahniah dan berilah tunjuk ajar sebaiknya kepada mereka yang dahagakan pengetahuan. Selautan ilmu yang kita curah kepada mereka yang dahagakan pengetahuan akan Allah balas dengan lebih banyak keuntungan didunia dan akhirat.