Sabtu, 8 Jun 2013

Harga sarang walet sampai bila

Dah lebih setahun saya tak menulis dalam blog ini. Tapi untuk menutup blog ini sayang pulak kerana boleh juga meluahkan rasa hati sendiri. Walaupun tak tahu berapa ramai yang membaca tetapi dapat juga mengeluarkan isi hati sendiri.
Baru-baru ini saya sempat menjengok pasaran sarang burung walet di Yiwu, China. Apa yang dapat saya simpulkan adalah pasaran masih ada, tetapi permintaan terhadap sarang burung walet dari Malaysia adalah amat berkurangan. Permintaan sarang burung walet dari Indonesia adalah lebih menggalakkan. Ada yang memberitahu banyak pengusaha RBW terpaksa membawa hasil tuaian mereka ke Indonesia sebelum di eksport ke China. Kesahihannya wallahualam.
Kementerian Pertanian masih berusaha berbincang dengan kerajaan China tentang eksport sarang burung walet ke China. Namun masih belum mencapai hasil yang menggalakkan. Harga pasaran yang rendah tidak menggalakkan untuk industri ini berkembang maju. Namun tidak perlu menunding jari menyalahkan sesiapa. Apa yang penting setiap daripada kita sama ada pengusaha atau pihak kementerian pertanian perlu mengusahakan langkah-langkah untuk meningkatkan kembali industri ini.
Jangan menghadkan monopoli kepada 10 syarikat teras yang diamanahkan untuk mengeksport sarang burung walet sahaja, tetapi buka kepada syarikat lain yang berkemampuan dan ada daya usaha untuk perjanjian dan pemasaran turut sama-sama bergerak. Telus dalam menilai kemampuan syarikat pengeksport. Jangan semuanya dikronikan. Apa yang kita nak lagi......

Isnin, 13 Februari 2012

REZEKI DARIPADA ALLAH

Alhamdulillah syukur, kerana penat lelah selama ini berbaloi dengan hasil sarang burung walet yang pertama telah saya tuai pada Oktober 2011 yang lalu. Walaupun hasilnya tidak seberapa namun rasa kepuasan telah ada dalam diri ini. Hasil pertama sekitar 1 kg lebih. Dengan harga yang tidak stabil kini dan kualiti tuaian pertama yang masih rendah saya baru memperoleh RM2k lebih untuk sekilogram.
InsyaAllah sekitar bulan Mac nanti tuaian saya yang kedua akan menyusul. Melalui pengamatan, anggaran tuaian nanti sekitar 1 kg, InsyaAllah. Terubat juga hati apabila mengenangkan cakap-cakap orang yang memperkecil-kecilkan keupayaan bumiputera dalam penternakan burung walet ini.
Cabaran-cabaran dalaman dan luaran perlu dihadapi dengan tabah untuk terus berjaya. Jangan kita menyangka bahawa RBW ini sebagai pasif income sahaja, tetapi perlu melihat RBW ini sebagai satu cabang perniagaan dan pendapatan yang penuh dengan liku-likunya.
Buat mereka yang lebih baru daripada saya harap banyak bersabar dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar segala pekerjaan kita diberkati Allah dan melimpahkan rezeki yang lebih banyak. Kepada mereka yang telah lama dan mungkin yang telah bergelar jutawan walet, tahniah dan berilah tunjuk ajar sebaiknya kepada mereka yang dahagakan pengetahuan. Selautan ilmu yang kita curah kepada mereka yang dahagakan pengetahuan akan Allah balas dengan lebih banyak keuntungan didunia dan akhirat.

Khamis, 10 Februari 2011

SAYA BUKAN PENTERNAK TEGAR

Saya telah dihubungi oleh beberapa orang rakan peminat RBW bertanya berita kenapa lama saya menyepi tanpa berita. Sebenarnya bukannya saya tidak mengikuti perkembangan burung walet lagi, tetapi kekangan masa dan tugas membuatkan saya terpaksa melupakan blog buat sementara waktu. Walau bagaimanapun beberapa orang rakan telah saya bantu dalam pembinaan RBW berkos rendah dan sederhana dan bertukar-tukar pandangan tentang industri ini.
InsyaAllah kalau ada rezeki tahun ini akan menjadi tahun pertama saya memungut hasil daripada RBW saya.
Mungkin hasilnya masih kurang tetapi berbaloilah usaha menunggu selama 2 tahun apabila melihat hasil yang diperolehi.
Tetapi buat pengusaha RBW saya nasihatkan agar jangan terlalu memikirkan tentang RBW kita, kerana selagi kita fikir dan menunggu seakan terlalu perlahan masa berlalu. Apa yang penting untuk mencapai masanya mestilah bermula dengan sehari. Tanpa hari ini tiada hari esok. Bermula sekarang dan nantikanlah pulangannya nanti. Menanti dan berdoa itu adalah sebaiknya.

Ahad, 10 Oktober 2010

Bila birokrasi terlalu teliti

Bulan lepas saya mengunjungi seorang rakan walet baru saya yang sedang menaikkan sebuah RBW 12'X20'X2tingkat. Sebelumnya rakan saya ini bercadang untuk mendapatkan pinjaman RBW daripada Agrobank. Tetapi apabila saya bertanya sama ada RBWnya dibina daripada pinjaman Agrobank, tetapi jawapannya adalah daripada modal sendiri +-30k.
Dia menerangkan sukar sangat nak dapatkan pinjaman tersebut. Naik turun Agrobank 5-6 kali. Ditendang ke Jabatan Veterinar untuk dapatkan pengesahan projek. Kalau perlu pengesahan mana borangnya? atau surat sokongannya. Kesimpulannya dua-dua pihak tak tahu duduk perkara pinjaman itu. Nak dapat penerangan Pegawai Veterinar Daerah 7 kali pergi 7 kali outstation. Tanya pada pegawai bawahan tak berani nak beri maklumat kerana nanti tak selaras dengan pegawai. Akhirnya buat keputusan guna modal sendiri, nak tunggu pinjaman 2 tahun lagi pun belum tentu dapat buat. tut-tut peruntukan dah habis!!!.
Macamtu lah jugak yang saya alami.. sama....
Kepada Agrobank dan Jabatan Veterinar cubalah lebih profesional dalam membantu penternak walet. Peruntukan kerajaan dah berikan, tetapi saluran kurang berkesan. Akhirnya bukan Agrobank dan Jabatan Veterinar yang disalahkan tetapi kerajaan yang disalahkan.
Kalau ada Pegawai Veterinar atau Agrobank atau mereka-mereka yang sewaktu dengannya yang baca boleh hubungi saya : Noordin Yusop PJM (019-5597796) **u/p: Daerah Seberang Perai Selatan.

Rabu, 18 Ogos 2010

BERITA 2

ANTARA RETORIK DAN REALITI




Sumber : AGROBANK

Fikir-fikirkanlah dan renungkanlah para penternak dan bakal penternak walet sekalian.

Selasa, 17 Ogos 2010

BERITA

RM600,000 bangun projek burung walet


KUALA KANGSAR 11 Ogos - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan RM600,000 kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi membangunkan projek pembiakan burung walet untuk golongan miskin di empat daerah tahun ini.

Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan LPP, Azhar Yunus berkata, empat daerah terbabit ialah Pagoh di Johor, Marang (Terengganu), Tanjung Karang (Selangor) dan Manjung (Perak).

Setiap daerah katanya, menerima peruntukan RM150,000 bagi menjayakan projek perintis tersebut.

"Peruntukan ini bagi membina rumah pembiakan berasaskan tempat yang berpotensi dan banyak terdapat burung walet,'' katanya.

Beliau berucap pada majlis meraikan persaraan Pengurus Besar LPP Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Kangsar, Othman Safar, penyampaian sumbangan kepada pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan moreh Unit Peladang 2010 di rumah rehat di sini hari ini.

Katanya, projek tersebut akan diusahakan oleh PPK terutama dalam aspek mengawal selia serta pengurusan dan keuntungannya akan digunakan untuk membantu ahli-ahli yang memerlukannya.

"Pembangunan projek pembiakan burung walet ini akan dikembangkan ke daerah-daerah lain bukan sahaja di empat negeri berkenaan tetapi kepada negeri lain yang terdapat banyak burung jenis itu tahun depan jika ada peruntukan kewangan secukupnya," tambah Azhar.

Beliau menegaskan, berdasarkan harga sarang burung walet yang mencecah RM10,000 sekilogram, projek tersebut dilihat mempunyai potensi jika diusahakan secara komersial di kawasan-kawasan lain.

Sementara itu, katanya, LPP turut menyediakan geran bantuan antara RM20,000 hingga RM30,000 kepada ahli-ahli yang berminat dalam program ternakan lembu dan kambing.