Ahad, 21 Mac 2010

ANTARA YANG IKHLAS DAN JUJUR

     Beberapa hari yang lalu, saya pergi ke kedai menjual alat-alat elektrik untuk pemasangan sistem bunyi dalam rumah walet baru. Kedai ini bukan asing bagi saya kerana banyak alatan untuk pemasangan sistem bunyi rumah walet saya dapatkan daripada kedai ini. Semasa membeli sempat juga berbual dengannya tentang rumah walet ni.
    Dia memberitahu saya yang beberapa hari yang lepas dia ada melayari Youtube. Dalam video youtube tersebut ada sebuah syarikat yang mempromosikan suara luar walet. Dalam video itu ditunjukkan bahawa rumah walet yang baru dibina tanpa ada seekorpun walet yang berterbangan. Tetapi selepas beberapa minit dipasangkan suara luar, beribu-ribu ekor walet yang datang, berterbangan di atas rumah walet itu. Promo nya sesiapa yang mahu khidmatnya bolehlah menghubungi nombor yang tertera 01--------.
    Tersenyum sendiri saya mendengar cerita tokey kedai tu. Terfikir kepada saya begitu banyak yang mengaku pakar dalam selok belok walet ini dan menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada pembinaan rumah walet, pemasangan sistem bunyi hinggalah yang menjual cecair penggalak walet. Terlalu banyak pakar sehingga tidak tahu yang mana betul-betul pakar dalam bidang ini.
    Masalahnya adalah kepada mereka yang baru mahu menceburi bidang ini, dengan pengetahuan yang kurang, sering tertipu dengan "pakar" yang sebenarnya pakar belit. Kepada pengusaha baru hendaklah berhati-hati semasa memilih konsultan untuk projek rumah walet mereka. Jika silap, alamat duit lesap projek kemana. Berfikir dengan mendalam, kalau boleh tanyalah mereka yang telah lama menceburi bidang ini dan dapatkan pandangan mereka.
    Setidak-tidaknya belilah pengetahuan dan pengalaman mereka. Jangan pula kita prejudis kepada mereka dengan menganggap mereka "ada saham" dalam projek kita nanti. Kalau adapun apa salahnya kalau itu boleh menguntungkan kita nanti. Ini lebih baik daripada pandai-pandai sendiri akhirnya kita menempuh kegagalan. Sebenarnya dalam dunia sekarang tiada yang percuma. Cuma kita harus meminimumkan kos yang ada.
    Namun begitu masih ada mereka yang ikhlas dalam membantu dan ikhlas dan jujur dalam berniaga. Carilah mereka yang benar-benar ikhlas membantu dan jujur dalam berniaga. Gunakanlah akal fikiran dan mata hati yang Allah kurniakan untuk mencarinya.
  

Jumaat, 19 Mac 2010

KISAH WALET KITA

    Beberapa hari yang lepas saya ke Pejabat MARA daerah, bagi membentang satu kertas kerja program yang saya rancang dengan kerjasama MARA untuk dilaksanakan. Selepas membentang kertas kerja tersebut sempat juga sembang-sembang dengan pegawai MARA daerah tentang bisnes-bisnes peniaga MARA dan bantuan-bantuan yang dihulurkan kepada usahawan dan peniaga di bawah MARA.
    Daripada apa yang saya dimaklumkan, dapat saya simpulkan bahawa betapa mewah dan bertuahnya peniaga Melayu dalam meneroka bidang perniagaan dan keusahawanan. Ada sahaja bantuan dan pinjaman yang diberikan untuk memulakan dan memajukan perniagaan.
    Tetapi malangnya sebahagian besar peniaga dan usahawan yang mendapat peruntukan bantuan dan pinjaman kewangan daripada MARA gagal memanfaatkannya dengan baik demi survival orang Melayu. Banyak yang diberi pinjaman gagal memanfaatkan pinjaman tersebut untuk memulakan perniagaan dan akhirnya menjadi liabiliti kepada pihak MARA, apabila terpaksa menjadi pemungut hutang dan kadang kala menjadi seperti peminta sedekah kepada peminjam MARA.

    Ada beberapa usahawan yang membuat pinjaman MARA sehingga RM250,000 3 tahun yang lalu untuk mengusahakan penternakan walet yang akhirnya berkubur begitu sahaja. Projek kemana, burung kemana, duit pinjaman pun entah kemana. Kalau ikut-ikut saya RM250,000 kita boleh bina 3 tingkat atau 4 tingkat bangunan berkeluasan 20’ X 70’.

    Wah, besar tu! Kalau 3 tahun lepas dah bina rumah walet sebesar tu, maknanya sekarang pendapatan boleh menjangkau puluhan ribu ringgit sebulan. Kalau kena gayanya dah boleh digelar jutawan pada tahun 2010 ni. Tapi apa dah jadi, projek yang dibuat tu “ke langit tak sampai, ke bumi tak jejak”. Kalau bahasa koporat kita kata tak ada status. Apa dah jadi? Sayang duit beratus ribu hilang macam tu saja.

    Ada masalah di sini sana. Masalah konsultan, masalah tanah, dan pelbagai masalah lagi yang dijadikan sebagai alasan untuk tidak berjaya. Tetapi apa yang dikesalkan sebab kegagalan projek-projek yang terdahulu, MARA telah membekukan sebarang pinjaman untuk projek rumah walet. Siapa yang rugi? Kita dan bangsa kita juga yang rugi. Kalau pengusaha merancang dengan baik projek mereka, sekarang insyaAllah akan wujud jutawan Melayu di kawasan ini, dan banyak lagi yang boleh dibantu oleh MARA untuk menjadi jutawan walet. Apa nak buat nasi dah jadi bubur, kesal pun tak guna.

    Apa yang perlu sekarang ini, pesanan kepada diri saya dan mereka yang hendak menceburi bidang ini supaya membuat perancangan yang teliti, penuhkan ilmu pengetahuan dan gunakan akal fikiran yang waras untuk memikirkan baik buruk sesuatu tindakan. Jika hendak mencari konsultan membina rumah waletpun kaji dengan teliti dan dapatkan bantuan mereka yang ikhlas membantu untuk membimbing anda dalam selok belok penternakan walet.

    Kalau perlukan bantuan saya sedia membantu anda untuk merealisasikan impian anda mempunyai sebuah rumah walet yang berkualiti. Bersama kita menjana pertumbuhan ekonomi bangsa melayu agar setanding dengan bangsa-bangsa lain di negara kita. "Bantu-membantu demi kemajuan Ummah"

Rabu, 17 Mac 2010

WALET SANA SINI

    Awal cuti sekolah pertengahan semester 1 saya sempat membawa anak-anak melancong ke Port Dickson. Pelancongan keluarga kali ini amat menarik buat anak-anak. Talah lama tidak bercuti ke kawasan pantai, tetapi kali ini dapat menikmati pemandangan pantai yang indah. Walaupun pemanduan ke Port Dickson meletihkan namun dapat juga saya berehat di bilik hotel semasa anak-anak asyik mandi-manda. Keselamatan anak-anak lebih terjamin apabila mandi-manda di laut buatan (air tawar lagi...).
    Kali ini bukan pula saya hendak mempromosikan percutian ke Port Dickson atau resort yang mempunyai laut buatan manusia. tetapi sebenarnya tulisan saya tidak lari daripada membicarakan tentang burung walet.
Apa yang ingin saya ulaskan kali ini adalah berkenaan lokasi yang baik untuk membina rumah burung walet.
    Kalau di Utara atau di kawasan Daerah Kerian tempat saya, rumah burung walet biasanya dibina di kawasan bandar atau berhampiran dengan kawasan sawah padi. Tetapi lokasi percutian saya kali ini merupakan kawasan tepi pantai ang kawasan daratannya dikelilingi kawasan hutan paya dan penanaman kelapa sawit. Kawasan seperti ini juga sesuai untuk pembinaan rumah walet.
    Sebagai seorang yang boleh dikatakan sebagai "kaki walet" kemana sahaja pergi, perhatian akan sentiasa tertumpu kepada walet yang berterbangan di angkasa.
    Pada suatu pagi semasa dalam percutian saya, saya bersama isteri sempat bersarapan roti canai di pekan Pasir Panjang, iaitu sebuah pekan kecil sempadan Negeri Sembilan dan Melaka. Semasa menikmati sarapan pagi saya melihat ribuan ekor (anggaran saya sekitar 5-6 ribu ekor) burung walet berterbangan di udara. Dengan semangat seorang peminat walet, saya cepat-cepat menghabiskan sarapan pagi dan mencari lokasi burung-burung tersebut.
    Pencarian saya menemukan sebuah rumah kedai dua tingkat dalam barisan rumah kedai berdekatan dengan balai polis Pasir Panjang. Tiada kedengaran suara pemanggil yang kedengaran, namun burung-burung walet itu keluar masuk kedalam rumah kedai yang telah diubahsuai menjadi rumah burung walet.Meriah sungguh keadaan burung walet kat situ. Tetapi apabila saya perhatikan sekitar kawasan itu hanya terdapat dua buah rumah walet di situ. Besar kemungkinan rumah tersebut dimiliki oleh pengusaha bukan melayu berdasarkan sign di depan kedai tersebut.
    Kalau hendak diikutkan kawasan tersebut banyak didiami oleh masyarakat melayu, tanah pun banyak tapi masih tiada yang mengusahakan untuk rumah burung walet. Alangkah ruginya kalau difikirkan. Bila kita nak berubah dan berusaha untuk diri sendiri. Sekali lagi saya katakan di sini, kita jangan asyik menyalahkan orang lain jika kita susah atau tidak berjaya tetapi salahkan diri kita sendiri kerana kita tidak mahu berfikir dan merebut peluang. Saya memohon maaf jika kenyataan saya ini agak keras tetapi biasanya ubat itu pahit, manakala gula itu manis. Ubat itu menyembuhkan, tetapi gula itu memudaratkan.
     Berubahlah dan berusahalah sekarang untuk masa depan kita yang lebih cerah.......!!!!!

Jumaat, 12 Mac 2010

RUMAH SEWA VS SEWA RUMAH

Pada cuti maulidul rasul yang lalu saya berkesempatan berkunjung ke rumah seorang kenalan saya di Arau, Perlis Indera Kayangan. Kenalan semasa sama-sama mengerjakan haji pada tahun 2009 yang lalu. Rumah kenalan saya ini terletak di kawasan pinggir bandar dan dikelilingi sawah padi yang sudah dituai hasilnya.
Kenalan saya ini telah setahun berpencen daripada pekerjaan makan gaji dengan sebuah badan berkanun. Beliau kini mengusahakan perniagaan hotel di Kangar. Ini hasil daripada wang ganjaran persaraan yang beliau perolehi. Selain daripada itu beliau juga mempunyai 3 buah rumah sewa yang dibina 10 tahun yang lalu.

Daripada perbualan dengan kenalan saya ini, saya dimaklumkan bahawa beliau membelanjakan RM60,000 untuk membina 3 buah rumah sewa itu. Sewa yang dikenakan RM250 sebulan. Saya sangat berbangga dengan pandangan ke hadapan kenalan saya ini. Beliau dapat membuat perancangan 10 tahun, untuk digunakan setelah beliau berpencen. Bayangkan beliau memperoleh pendapatan pasif RM750 sebulan daripada pelaburan RM60,000 sepuluh tahun lalu.

Cuba kita rancangkan pelaburan masa ini untuk sepuluh tahun akan datang. Untuk masa tua kita, atau untuk anak cucu kita. Kalau orang tua-tua dahulu, sering menanam pokok buah-buahan untuk dimakan oleh anak cucu nanti. Tetapi apa yang kita rancang untuk masa tua kita atau untuk anak cucu kita?

Apa kata kita membina rumah sewa seperti kenalan saya tadi, untuk kesenangan masa tua kita atau untuk anak cucu kita juga. Tapi kita tak perlu menyewa kepada orang, tetapi kita sewakan rumah sewa kita kepada burung walet. Kalau kita sewa kepada orang kadang-kadang ada yang tidak mahu membayar sewa (lari malam). Tetapi kalau kita sewa kepada burung walet, apabila tinggal di rumah kita, insyaAllah akan dibayar sewa setiap bulan. InsyaAllah dalam masa 2 tahun sahaja kita sudah mendapat pulangan yang melebihi modal kita. Kalau RM60,000 kita boleh membina bangunan satu tingkat berkeluasan 60’ X 20’ dan lengkap bersistem, insyaAllah kita mendapat lebihan pulangan dalam tahun kedua.

Kenapa tunggu lagi!! Bagi mereka yang mempunyai perancangan masa depan, masukkan pembinaan burung walet dalam takwim perancangan 5 tahun atau 10 tahun anda. Bagaimana hendak implementasikan perancangan itu, Haji Din sentiasa sedia membantu.

Selasa, 9 Mac 2010

WALET! OH WALET!

    Pada hujung minggu yang lepas seorang pengunjung yang menghubungi haji bertanyakan tentang penternakan burung walet ini. Untuk makluman semua inilah pengunjung pertama yang menghubungi haji sejak blog ini dijana. Haji rasa teruja kerana blog ini boleh memberi manafaat kepada peminat atau mereka yang mahu berjinak-jinak dengan industri penternakan burung walet ini. Seperti yang haji katakan sebelum ini, blog ini dijana bukanlah untuk memperoleh keuntungan peribadi, tetapi untuk memberi ruang dan peluang kepada kalangan bumiputera menjana pendapatan baru secara pasif.
    Begitu besar potensi kita orang-orang Melayu dalam industri ini. Kita banyak tanah pertanian seperti ini. Ada yang telah menggunakan potensi itu untuk menjana pendapatan pasif tersebut. Tetapi berapa ramai? Mungkin dalam lingkungan 2% atau kurang yang mengekploitasinya. Bagi yang lain bagaimana? Kenapa kita kita tidak bertindak sekarang? Jangan kita asyik beretorik dengan alasan-alasan yang akhirnya menunjukkan kelemahan kita. Jangan asyik tunggu disuap, baru boleh makan akhirnya menunding jari kepada orang lain atas kekurangan diri sendiri. Usaha kita dimana? Potensi yang ada kenapa tidak digunakan. Cepat bertindak sebelum terlambat. Nanti siapa yang rugi? Kita dan keluarga kita yang rugi.
Mungkin kita tinggal di bandar tetapi ada tanah sekangkang kera di kampung. Semasa cuti, semasa menjenguk emak dan ayah di kampung, tinjau-tinjaulah tanah sekangkang kera itu. Kerana tanah itu mungkin akan bernilai jutaan ringgit sepuluh tahun lagi kalau kena gayanya.
    Kalau ingin bantuan Haji Din sedia membantu. Kekayaan bukan untuk digenggam tetapi untuk dikongsi. Kekayaan kita, kekayaan agama dan bangsa kita. Hina besi kerana karat, hina manusia kerana miskin. Renung-renung, fikir-fikir dan bertindaklah sekarang.

Isnin, 8 Mac 2010

SEMINAR PENTERNAKAN WALET

Swift Agrotech bercadang untuk mengadakan satu seminar untuk pengusaha-pengusaha bumiputera yang berminat dalam penternakan burung walet pada bulan April nanti. Lokasi yang dicadangkan adalah di Daerah Kerian. Seminar itu nanti akan menekankan tentang potensi penternakan burung walet dan selok-belok industri ini.
Seperti mana seminar-seminar penternakan burung yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat konsultansi yang besar dalam bidang ini, seminar ini juga akan menjadi asas kepada usahawan-usahawan bumiputera yang berminat, bermotivasi tinggi, dan mahukan perubahan diri untuk memulakan tapak dalam industri ini.
Kepakaran daripada mereka yang telah berpengalaman lama dalam bidang ini akan digunakan dalam seminar itu nanti.
Seminar ini nanti akan menjadi satu seminar yang tidak harus dilepaskan kerana seminar seperti ini biasanya dijalankan di hotel-hotel besar dengan bayaran yang tinggi. Namun seminar ini nanti akan mengenakan bayaran yang amat rendah berbanding ilmu yang akan diperoleh.

Nantikan pengumuman daripada Swift Agrotech tentang "SEMINAR PENTERNAKAN BURUNG WALET" di Perak Utara.

Keterangan lanjut boleh hubungi : Hj Din, 0195597796 (Bagan Serai)

Sabtu, 6 Mac 2010

KEKAYAAN ALAM KURNIAAN ALLAH

Apabila berbicara tentang kekayaan banyak persepsi yang kita peroleh yang melihat kekayaan daripada pelbagai sudut pandangan. Ada yang mengatakan "kekayaan daki dunia", "harta kekayaan tuan dunia", "harta dunia tak akan membawa kekayaan akhirat" dan banyak lagi pendapat dan pandangan.
Bagi Haji kekayaan dunia ada keperluannya, tetapi kekayaan kekayaan akhirat itulah yang kekal abadi. Pelayar -pelayar jangan berasa pelik dengan tulisan Haji kali ini kerana Haji nak kaitkan kekayaan ini dengan usaha kita mengembangkan bisnes walet ini. Kerana kita perlu bersedia untuk menjadi kaya.
Dr. Christoper seorang doktor perubatan menjadi jutawan kerana projek burung waletnya. Seorang pengusaha rumah walet di Utara Perak (berbangsa Cina) memperoleh pendapatan RM2 juta daripada 50 rumah walet sebulan??? dan banyak lagi kisah orang kaya dengan rumah walet ini. Mungkin ada pengusaha lain yang menganggap kenyataan Haji ini keterlaluan atau mendedahkan rahsia perniagaan, tetapi bagi Haji rezeki dan kekayaan itu Allah yang beri. Kalau Allah tak beri sampai kiamatpun kita tidak memperolehnya. Tetapi harus berusaha dan mencari jalan memperolehnya. Adakah kita telah bersedia untuk menjadi kaya?
Rebutlah peluang yang masih ada ini untuk menjadi kaya? Kalau tak kaya pun bertambah kesenangan kita, bertambah pendapatan kita, bertambah keboleh upayaan kita dan meningkat taraf hidup kita. Apabila ini berlaku kemana arah tujuan kita?
1. Perbanyakkan amal ibadat kita. Sebab kini kita tak perlulah lagi bekerja sehingga "tak kering kain di badan". Masa kita banyak terluang untuk kita bersyukur kepada Yang Maha Esa.
2. Lebihkan sedekah jariah kita. Wang yang diperoleh telah lebih daripada yang sebelumnya. Bantu mereka yang kurang berkemampuan. Jangan jadikan wang sebagai tuan dunia. Sekali kita bersedekah dengan ikhlas maka insyaAlah akan dibalas berkali-kali oleh Allah kepada kita.
3. Tingkatkan peribadi dan sahsiah kita ke arah yang lebih sempurna. Tingkatkan pencapaian keluarga, anak-anak, ibu bapa dan kaum keluarga kita.
InsyaAllah jika kita berusaha kekayaan akan datang kepada kita. Jadikan alam kurniaan Allah ini sebagai sumber kekayaan kita. Bergerak dan bertindak sekarang. Orang lain telah jauh meninggalkan kita. Jangan asyik menunding jari kepada orang sahaja atas kekurangan kita, tetapi berusahalah secukup-cukupnya. "Berusahalah kamu seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi, beramal ibadatlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari" (Hadis Rasulullah)

Isnin, 1 Mac 2010

BILA MEREKA BERTANYA

Beberapa hari yang lepas seorang akan bertanya tentang penternakan burung walet kepada saya. Oleh kerana minat yang mendalam yang ditunjukkan oleh rakan saya ini, dengan besar hati saya menerangkankan serba sedikit tentang industri ini. Banyak yang ditanya dan banyak yang diterang.
Namun kesimpulan akhir yang dapat saya buat adalah;
1. Banyak daripada orang kita yang tidak mempunyai pengetahuan yang
luas dalam bidang ini.
2. Kurang faham tentang selok-belok bisnes ini.
3. Tidak mengetahui potensi bisnes ini secara mendalam.
4. Walaupun berminat masih lambat bertindak.
5. Tidak tahu siapa dan dimana yang boleh dihubungi untuk memulakan
bisnes ini.
6. Terlalu mempercayai momokan daripada orang lain tentang keburukan
bisnes ini.

Kalau anda tiada pengetahuan saya boleh ajar, kalau anda kurang faham saya boleh terang, kalau anda tidak tahu cara saya boleh tunjuk, kalau anda berminat hubungi saya Hj Din: 0195597796
Fikir dan bertindaklah sekarang.