Ahad, 21 Mac 2010

ANTARA YANG IKHLAS DAN JUJUR

     Beberapa hari yang lalu, saya pergi ke kedai menjual alat-alat elektrik untuk pemasangan sistem bunyi dalam rumah walet baru. Kedai ini bukan asing bagi saya kerana banyak alatan untuk pemasangan sistem bunyi rumah walet saya dapatkan daripada kedai ini. Semasa membeli sempat juga berbual dengannya tentang rumah walet ni.
    Dia memberitahu saya yang beberapa hari yang lepas dia ada melayari Youtube. Dalam video youtube tersebut ada sebuah syarikat yang mempromosikan suara luar walet. Dalam video itu ditunjukkan bahawa rumah walet yang baru dibina tanpa ada seekorpun walet yang berterbangan. Tetapi selepas beberapa minit dipasangkan suara luar, beribu-ribu ekor walet yang datang, berterbangan di atas rumah walet itu. Promo nya sesiapa yang mahu khidmatnya bolehlah menghubungi nombor yang tertera 01--------.
    Tersenyum sendiri saya mendengar cerita tokey kedai tu. Terfikir kepada saya begitu banyak yang mengaku pakar dalam selok belok walet ini dan menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada pembinaan rumah walet, pemasangan sistem bunyi hinggalah yang menjual cecair penggalak walet. Terlalu banyak pakar sehingga tidak tahu yang mana betul-betul pakar dalam bidang ini.
    Masalahnya adalah kepada mereka yang baru mahu menceburi bidang ini, dengan pengetahuan yang kurang, sering tertipu dengan "pakar" yang sebenarnya pakar belit. Kepada pengusaha baru hendaklah berhati-hati semasa memilih konsultan untuk projek rumah walet mereka. Jika silap, alamat duit lesap projek kemana. Berfikir dengan mendalam, kalau boleh tanyalah mereka yang telah lama menceburi bidang ini dan dapatkan pandangan mereka.
    Setidak-tidaknya belilah pengetahuan dan pengalaman mereka. Jangan pula kita prejudis kepada mereka dengan menganggap mereka "ada saham" dalam projek kita nanti. Kalau adapun apa salahnya kalau itu boleh menguntungkan kita nanti. Ini lebih baik daripada pandai-pandai sendiri akhirnya kita menempuh kegagalan. Sebenarnya dalam dunia sekarang tiada yang percuma. Cuma kita harus meminimumkan kos yang ada.
    Namun begitu masih ada mereka yang ikhlas dalam membantu dan ikhlas dan jujur dalam berniaga. Carilah mereka yang benar-benar ikhlas membantu dan jujur dalam berniaga. Gunakanlah akal fikiran dan mata hati yang Allah kurniakan untuk mencarinya.
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan