Selasa, 6 April 2010

BINA JANGAN TAK BINA

    Lebih kurang 3 minggu saya tak menulis dalam blog ini. Rasa ketinggalan pulak bila lihat blog lain terkehadapan. Tetapi dek kekangan waktu, sibuk dengan kerja-kerja utama, tak dapatlah menyampaikan mesej melalui tulisan saya buat sementara waktu.

    Kisah kali ini tentang pembinaan rumah walet. Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, jika bercerita tentang pembinaan rumah walet, banyak yang mengaku pakar. Pakar rumah, pakar, kayu, pakar suara dan pakar segala macam pakar. Tetapi bagi seorang yang baru mahu menceburi bidang ini perkara inilah yang memeningkan kepala. Takut modal kemana, untung kemana. Kepada mereka yang baru dan berminat saya dapat berikan beberapa tips untuk difikirkan sebelum bertindak.

    Modal pelaburan adalah perkara utama. Walau sebanyak mana modal kita yang mampu kita laburkan, jangan membazirkan modal dengan perancangan yang kurang tepat. Elakkan membina bangunan yang mempunyai jangka hayat yang tidak pasti. Contohnya, binaan dinding menggunakan zink, siling asbestos atau papan. Bukan apa, cuba anda bayangkan, kalau ada rezeki semakin bertambah masa semakin banyaklah walet yang menginap dalam rumah anda, sedangkan zink,siling asbestos atau papan semakin hari semakin rosak. Bayangkan juga kalau rumah anda sudah semakin mahu roboh sedangkan telah ada 5000 ekor walet yang menginap di situ. Lebih baik anda gunakan batu bata dalam membina rumah walet anda. Walaupun kosnya lebih tetapi anda tidak akan menyesal kemudian hari.

    Saiz rumah juga perlu anda ambil kira. Kalau kita lihat pelbagai saiz rumah walet yang dibina. Ada yang berkata saiz rumah tidak mempengaruhi sangat. Ada rumah saiz kecil tapi banyak burung yang menginap, manakala rumah hingga 4 tingkat bangunan tak berapa ekor burung yang menginap. Tetapi kita perlu ingat bahawa kalau kena gaya buatannya burung lebih gemar menginap dalam rumah yang besar dan selesa. Kita perlu mengkaji tentang kesesuaian lubang junam, ruang terbang dan ruang inap untuk membina saiz rumah walet yang sesuai. Bagi saya luas minimum sekitar 900 kaki persegi (termasuk ruang terbang) untuk setingkat adalah memadai. Lagi luas lagi baik.

    Ilmu pengetahuan tentang pengurusan rumah walet juga perlu. Jika kita tiada ilmu pelbagai masalah bakal timbul. Banyak website atau blog di internet yang boleh memberi pengetahuan kepada kita tentang pengurusan rumah walet ini. Banyak membaca dan bertanya kepada mereka yang lebih pakar. Tetapi kadang-kadang yang pakar tidak mahu memberi ilmu secara percuma. Kalau begitu belilah ilmu daripada mereka. Jangan anggap rugi “membeli” ilmu pengetahuan.

    Jadikan penternakan walet sebagai minat. Jika kita minat, maka banyaklah ilmu yang akan kita timba. Akhirnya kita akan menjadi orang yang mahir dalam selok belok pengurusan rumah walet ini. Tidak perlulah lagi kita sentiasa bergantung kepada orang lain untuk menguruskan rumah walet kita atau terus menambah harta dengan rumah walet pada masa hadapan.

   Kalau di negeri-negeri lain ada persatuan penternak walet, contohnya di Terengganu, Johor dan Pahang. Apa kata kita join persatuan-persatuan ini, bagi menambah kenalan, menambah ilmu pengetahuan, bertukar-tukar pendapat dan masalah. Moga-moga kita tidak bersendiri-sendirian dalam meneroka bidang penternakan ini. Banyak manafaatnya bila kita dapat duduk bersama-sama menilai projek masing-masing dan merancang bersama-sama untuk masa hadapan. Saya pun rasa teruja kalau ada yang nak tubuh persatuan penternak walet bumiputera di wilayah utara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan