Ahad, 28 Februari 2010

INDUSTRI TERNAKAN BURUNG WALET

Industri Sarang Burung Layang-Layang hari ini telah mencetuskan satu lagi industri yang berpotensi besar bagi semua usahawan untuk merealisasikan kehidupan mewah selain dari bidang-bidang perniagaan yang lain.
Pada tahun 2004, industri sarang burung layang-layang di Malaysia telah diiktiraf oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai penyumbang kepada tukaran mata wang asing bagi Negara ini. Sehubungan dengan itu, pihak kementerian telah mewujudkan satu Garis Panduan Penternak Burung Layang-Layang untuk semua pihak berkuasa tempatan di peringkat daerah, majlis tempatan dan majlis bandar raya di seluruh negara.

Sebagai tambahan, Jabatan Perkhidmatan Haiwan juga mempunyai garis panduan untuk pembiakkan burung layang-layang. Sarang burung dipercayai kaya dengan kalsium, zat besi, potassium, dan magnesium yang amat berguna kepada kesihatan. Industri burung layang-layang di Malaysia telah menyaksikan lantunan serta lonjakan pertumbuhan dalam tempoh lima tahun ini.

Akan tetapi ianya amat berkurangan di kalangan usahawan bumiputra kerana itulah industri ini disifatkan sebagai industri yang dirahsiakan, ianya telah lama dimonopoli oleh usahawan bukan bumiputra yang melihat potensi kekayaan yang wujud dari bidang ini, mereka sanggup mengeluarkan modal jutaan ringgit untuk dilaburkan. Kebanyakkan rumah-rumah burung dibina di bandar- bandar kecil di mana sumber makanan yang banyak pada tahap pencemaran yang masih rendah.

Kerajaan negeri Perak misalnya, menawarkan 10 kawasan berpotensi untuk dibangunkan industri ini, manakala negeri Johor mencadangkan sebuah taman eko burung layang-layang di Endau dan Desaru.

Kerajaan Negeri Sembilan juga menunjukkan minat yang sama untuk membina sebuah taman bagi tujuan tersebut. Bank Pertanian Malaysia atau kini dikenali sebagai AgroBank menawarkan pembiayaan sehingga 85% berikutan industri sarang burung kini menjadi sebahagian daripada industri berasaskan tani.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia pula telah mengiktiraf enam buah syarikat industri sarang burung layang-layang bagi menjalankan usahasama perniagaan di bawah program pemadanan perniagaan.

Sehingga akhir tahun 2006, terdapat hampir 36000 buah rumah burung layang-layang di seluruh Negara dengan kadar purata pertumbuhan sebanyak 35% setahun sepanjang tempoh lima tahun lepas.

Jumlah nilai pengambilan sarang burung diseluruh dunia pada tahun 2006 dianggarkan RM8 billion sehingga RM12 billion. Hong Kong merupakan pembeli sarang burung terbesar iaitu 50% manakala China 8% ,Taiwan 4% dan Macau 3% dengan jumlah pengambilan kira-kira 160 tan pada tahun 2006.

Akan tetapi permintaan ini tidak termasuk negara-negara Eropah dan Arab disebabkan pembekalan yang tidak mencukupi. Harga sarang burung putih yang belum diproses dijual pada harga RM4500 hingga RM6000 sekilogram pada 2006.

Harganya berganda lebih tinggi di China dan Hong Kong. Malaysia kini merupakan pengeluar sarang burung dengan nilai pembekalan kasar sebanyak 7% selepas Indonesia 60% dan Thailand 20%.


Burung Walet merupakan burung pemakan serangga yang bersifat aerial dan suka meluncur. Burung ini berwarna gelap, terbangnya cepat dengan ukuran tubuh sedang / kecil, dan memiliki sayap berbentuk sabit yang sempit dan runcing, kakinya sangat kecil begitu juga paruhnya dan jenis burung ini tidak pernah hinggap di pohon. Burung walet mempunyai kebiasaan berdiam di gua-gua atau rumah-rumah yang cukup lembab, remang-remang sampai gelap dan menggunakan langit-langit untuk menempelkan sarang sebagai tempat beristirahat dan berbiak.

Hasil dari perternakan walet ini adalah sarangnya yang terbuat dari air liurnya (saliva). Sarang walet ini selain mempunyai harga yang tinggi, juga dapat bermanfaat bagi dunia kesihatan. Sarang walet berguna untuk menyembuhkan paru-paru, panas dalam, melancarkan peredaran darah dan penambah tenaga.



Sifat-sifat yang ada pada sarang burung adalah rasa manis, lembut dan sesuai untuk penyakit yang berkaitan paru-paru, perut dan hati. Fungsi sarang burung menghasilkan yin untuk mengurangkan kekeringan, menghasilkan tenaga dan menguatkan fungsi SPLEEN perut.

Penggunaan sarang burung ini untuk mengubat masalah penghadaman, tuberculosis, batuk, phlegm-dyspnea (kesusahan bernafas), asma, hemotysis (batuk berdarah), hematoma (penyakit berkaitan sel-sel darah), prolonged dysentery, demam malaria yang kronik, dysphagia (masalah menelan), lemah secara umum, batuk kering, batuk berdarah, muntah darah, berpeluh malam, masalah dada, dahaga dan lain-lain lagi.

Bagi masalah kurus, kurang selera makan , masalah perut berpunca dari sakit berpanjangan. - Rebus sarang burung dengan susu atau dengan ayam atau jus daging.


Keringkan sarang burung di dalam air sejuk, tukar air sekali dan rendam dalam air selama 5 ke 6 jam. Bersihkan bulu dan bahan-bahan lainyang terdapat pada sarang tersebut, alihkan bagi mengeringkannya. Kemudian kerat dan letakkan didalam mangkuk yang besar dengan secawan air bagi setiap 20 gram. Rebus dengan kepanasan yang sederhana selama 15 minit, kemudian tambah gula batu atau garam secukup rasa.

Terdapat pelbagai cara untuk menyediakan sarang burung ini dan ia bergantung kepada citarasa masing-masing.

Cara yang biasa dilakukan ialah dengan merebus sarang burung ini sebanyak dua kali di dalam porcelain pot.

Pada awalnya proses soaked dilakukan selama satu jam didalam air panas untuk membolehkan sarang mengembang. Untuk penyediaan sarang ini kepada orang dewasa, sarang kering yang mempunyai berat 4 ke 5 gram adalah disyorkan.

Sarang ini hendaklah di masak sebanyak satu setengah cawan sekurang-kurangnya 2 jam bergantung kepada gred sarang burung yang digunakan. Sarang yang berkualiti tidak memerlukan masa yang lama untuk dimasak. Gula batu ditambah bagi bagi menambahkan rasa semasa 10 minit terakhir masakan tersebut. Sesetengah orang gunakan daun pandan ataupun ginseng bagi menambahkan lagi rasanya.

Cara pemasakan ini disyorkan bagi mereka yang telah melalui proses pemulihan terapi.Sarang burung yang dikukus perlu dihidang semasa masih panas dan sudu porcelain digunakan sebelum tidur dan disyorkan diambil pada awal pagi untuk kesan maksimum.


Posted by Ahmad at 6:41 PM , Links to this post , 0 comments
Labels: kursus, kursus penternakan, penternakan, walet
Burung Walet Q&A

Apakah yang dikatakan burung layang-layang (walet)?
Burung walet atau Aerodramus Fuchipagus adalah burung pemakan serangga yang mampu terbang dengan kelajuan dan pergerakan yang cepat. Ia tidak boleh mendarat di tanah atau hinggap pada dahan pokok kerana kakinya yang pendek dan biasanya boleh didapati di gua-gua pinggir hutan, sawah, habitat yang berkayu serta di kawasan pantai atau lombong. Burung ini mampu terbang dalam kegelapan melalui kaedah ‘eccholation’ dan membuat sarang menggunakan air liurnya.

Adakah industri perniagaan ini sah di sisi undang-undang?
Ya, ia merupakan satu peniagaan, pelaburan dan industri yang sah yang mendapat perhatian serta diikitiraf oleh pihak kerajaan dengan penglibatan pihak Jabatan Perhilitan, Jabatan Veterina (Haiwan), pihak berkuasa tempatan serta Kementerian Kesihatan. Pihak Jab Veterina juga ada menerbitkan sebuah buku bertajuk Garis Panduan Amalan Penternakan Burung Walit (GAHP) untuk dijadikan panduan dan asas kepada pengusaha.

Berapakah pulangan pelaburan yang boleh didapati melalui sebuah rumah burung walet yang berjaya?
Anggaran pendapatan sesebuah rumah burung walet berkeluasan 20’ x 70’ x 2 tingkat adalah RM40-RM60k sebulan atau 10-15kg sebulan selepas tempoh matang atau kebiasaannya selepas tahun ke-4.

Bagaimanakah kawasan yang sesuai untuk membina rumah burung dan menjalankan pembiakan burung walet?
Kawasan pembiakan burung walet yang sesuai adalah di kawasan habitat yang berkayu seperti pinggir hutan, ladang kelapa sawit, sawah, tepi pantai dan kolam atau lombong yang mempunyai potensi pemakanan seperti serangga dan sumber minuman yang banyak.

Perlukah sebuah rumah bururng walet dipasang bunyi suara burung berterusan (24 jam) sejak beroperasi?
Rumah burung walet dibenarkan dipasang bunyi dalaman burung walet selama 24 jam tetapi bunyi luaran hanya perlu dipasang pada waktu-waktu tertentu sahaja iaitu pagi (7.00pagi – 12 tengahari) dan petang (5.00 petang -7.30 malam). Waktu tersebut adalah waktu yang disyorkan oleh Jab Veterina dan kekuatan bunyi (decibel) pula di antara 0.0525dB – 0.1578dB atau frekuensi 1khz – 16khz iaitu di bawah pendengaran manusia.

Adakah jangkitan penyakit seperti selsema burung boleh berlaku?
Selesema burung tersebar disebabkan sisa kotoran najis di atas tanah yang dimakan oleh binatang ternakan seperti ayam sebaliknya burung walet mencari makan di udara. Namun, sisa kotoran najis burung di dalam rumah burung perlu dibersihkan secara berkala bagi mengelakkan hama atau penyakit lain boleh merebak.

Saya memiliki sebuah rumah kedai 20’ x 70’ x 2 tingkat dan ingin mengubahsuai rumah tersebut kepada rumah burung walet. Apakah yang perlu saya lakukan dan berapakah anggaran kos yang diperlukan?
Lesen mengubahsuai bangunan perlu diperolehi dari pihak Majlis Daerah terlebih dahulu seterusnya pihak perunding yang dilantik perlu membuat lawatan dan penilaian ke atas rumah kedai tersebut sebelum pengiraan jumlah anggaran kos dibuat serta mengenalpasti adakah rumah burung sesuai dibina di kawasan tersebut. Anggaran kos adalah berbeza antara sesuatu tempat bergantung kepada lokasi dan kedudukan kedai tersebut.

Sarang rumah vs sarang gua.. apakah perbezaan antara keduanya?
Sarang rumah berwarna putih dan lebih bersih serta terdiri dari 85-95% air liur dengan harga yang tinggi sedangkan sarang gua biasanya berwarna hitam dan lebih kotor di mana 85% adalah bulu atau pelepahnya pada harga nisbah 1:5 lebih rendah berbanding dengan sarang rumah.

Bolehkah burung walet ini diternak dan bagaimana boleh kita mempelajari tentang penternakan burung walet?
Kehidupan asal burung walet adalah burung yang terbang bebas dengan mencari makan sendiri secara semulajadi sebaliknya jika diternak, makanannya yang terdiri dari serangga perlu disediakan dan kos akan bertambah serta tidak efektif dan apabila burung tersebut meningkat dewasa ianya akan kembali membesar secara semulajadi.

Bagaimana boleh saya mengenalpasti atau mengira jumlah burung walet yang telah melawat rumah burung walet saya?
Jumlah burung walet boleh dikenalpasti dengan memerhatikan dan menanda tompokan tahi burung yang terdapat di lantai, ini bermakna pada malam hari ada burung walet tidur di dalam rumah tersebut.

Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan sarang burung berwarna merah?
Sarang merah terjadi disebabkan serapan mineral dari makanan laut (kandungan zat besi yang tinggi) serta banyak terdapat di kawasan Borneo dan bukan disebabkan burung tersebut kepenatan sehingga mengeluarkan darah.

Siapa dan apakah pemangsa utama burung walet?
Pemangsa semulajadi bagi burung walet adalah cicak, lipas, tikus, helang, burung hantu, biawak dll tetapi manusia (pencuri sarang burung) kini merupakan pemangsa yang utama.

Rumah burung saya telah dibina 6 bulan yang lalu dan mempunyai suhu, kelembapan dan pencahayaan yang sesuai tetapi mengapa burung walet masih tidak berminat untuk membuat sarang?
Rumah burung yang berjaya bukan sekadar perlu diadaptasikan suasananya seperti gua tetapi memerlukan ruang legar (rooving room) untuk berpusing atau terbang yang sesuai (minima 10’x10’) di samping sistem bunyi yang mampu menarik minat burung walet untuk bermain dan membuat sarang. Susunan kayu beluti juga perlu selari dengan ruang masuk serta banyak faktor lain lagi yang turut menyumbang kepada minat burung walet untuk berdiam.

Apakah material atau bahan binaan yang paling sesuai untuk mendirikan rumah burung walet samada menggunakan bata merah, bata pasir, bata blok atau dinding ‘foam’?
Penggunaan bata merah (tanah liat) adalah paling sesuai berbanding bata pasir, bata blok atau dinding ‘foam’ kerana ianya terbukti dapat menstabilkan suhu dalaman rumah burung pada waktu siang dan malam serta mempunyai aroma atau bau tanah yang bersesuaian dengan kehendak burung. Sebaliknya dinding ‘foam’ (campuran simen + pasir + bahan kimia) lebih digemari di kawasan pendalaman dan kosnya lebih murah tetapi tidak begitu sesuai di kawasan terbuka.

Apakah caranya untuk meningkatkan mutu dan kuantiti sarang burung dalam sebuah rumah burung yang telah mempunyai hasil?
Mutu sarang burung dapat ditingkatkan dengan mengawal suhu pada kadar 25-29 darjah Celcius dan kelembapan antara 85-90% di samping kebersihan dan keadaan dalam rumah burung perlu dititikberatkan. Kuantiti sarang burung pula dapat ditingkatkan dengan menambah kayu meranti samada secara rak berlapis/bertingkat atau ditambah satu lapisan lagi tetapi ketinggian rumah burung tersebut mestilah >8 kaki. Di samping itu hasil sarang burung juga dapat dituai 2x sebulan selepas tahun ke-5 dan seterusnya.

Mengapakah masih terdapat banyak rumah burung walet yang gagal dan apakah kesilapan yang sering dilakukan?
Kurangnya pengetahuan, pengalaman dan kajian terhadap teknik-teknik dan kesesuaian mengikut kehendak burung menyebabkan faktor utama kegagalan sesebuah rumah burung walet. Ramai yang mendakwa seorang kontraktor binaan mampu membina sebuah rumah tetapi tidak untuk rumah burung. Rumah burung juga memerlukan penyelenggaraan yang berkala dan berpengalaman bagi mengekalkan suhu, kelembapan, cahaya, kebersihan, kualiti bunyi dll adalah pada tahap maksima.

Jika semakin banyak rumah burung didirikan setiap bulan, apakah kemungkinan terdapat lebihan penawaran sarang burung di pasaran dunia?
Indonesia (60%), Thailand (20%), Malaysia (7%)dan lain-lain Negara (13%) merupakan pengeluar utama sarang burung cuma mampu menyumbang 30% dari permintaan pasaran dunia dan burung walet ini tidak terdapat di tempat lain sedangkan permintaannya bertambah setiap tahun.

Adakah sarang burung walet ini halal dimakan?
Sarang burung walet adalah halal untuk dimakan dan anda bolehlah merujuk dengan jabatan yang berkaitan (JAKIM) untuk mengesahkannya.

Dipetik daripada
Usahawantani.com
En. Ahmad

Sabtu, 27 Februari 2010

IDEA BARU PELUANG BARU

Dalam melayan banyak-banyak blog tentang walet. Baru terjumpa blog yang agak sama dengan blog yang dijana ini. Blog yang dimaksudkan adalah blog burung layang-layang gua,yang dijana oleh Pak Din. Nama yang seakan sama dengan nama penjana blog swiftagrotech ini, Nordin - Noordin.
Mungkin cerita kali ini seakan mempromosikan blog Pak Din, tetapi dengan hati yang amat ikhlas saya amat berasa bertuah dapat melayari blog tersebut. Saya pun belum mengenali Pak Din dengan lebih dekat. Tetapi beliau adalah sebahagian daripada orang Melayu yang telah mempunyai kesedaran yang tinggi tentang potensi burung walet dan mungkin telah berjaya.
Daripada cara yang digunakan Pak Din, saya fikir ini adalah salah satu cara yang berkesan untuk menningkatkan penglibatan orang Melayu dalam bisnes burung walet ini.
Memang cara itulah saya bermula, iaitu dengan membuat pengubahsuaian terhadap rumah lama tetapi masih kukuh untuk sebuah projek rumah walet pada peringkat awal penglibatan.
Walau bagaimanapun kita perlu sentiasa ke hadapan. Daripada rumah yang diubahsuai kepada bangunan baru dua tingkat seterusnya empat tingkat. Daripada sebuah rumah menjadi dua, tiga dan seterusnya.
Namun begitu langkah pertama perlu diambil dahulu barulah dapat kita menapak terus ke hadapan. Jangan biarkan masa menapak lebih laju daripada idea dan tindakan kita. Kita perlu sentiasa ke hadapan. Ingat, jika kita berjaya kita juga yang kaya.
"Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu sendiri merubah nasib mereka". Allah tidak akan memberi kekayaan kepada kita jika kita tidak berusaha mencari kekayaan. Lebih baik kaya daripada tidak kaya, itulah hakikat kehidupan kini.
Jangan lupa yang Maha Kuasa, insyaAllah kekayaan akan menjadi milik kita sama ada di dunia atau di akhirat.

Jumaat, 26 Februari 2010

BAGAIMANA KITA BOLEH BERMULA

Untuk merealisasikan sebuah rumah walet memang memerlukan modal yang tinggi. Dianggarkan dengan peningkatan kos bahan kini, sebuah rumah walet yang sempurna berukuran 20' X 70'dua tingkat memakan belanja sebanyak RM300,000.00!!!
Berapa banyak dalam kalangan kita yang mempunyai modal sebanyak itu? Atau jika adapun adakah mereka dari kalangan pelabur yang benar-benar yakin dengan projek ini. Walaupun projek ini telah terbukti memberi pulangan yang amat tinggi, tetapi masih ramai dari kalangan bumiputera yang tidak begitu yakin dengan projek ini. Mereka lebih yakin dengan skim cepat kaya yang menjanjikan pulangan besar dengan segera dengan pelaburan ribuan ringgit malaysia. Akhirnya "berniaga buluh kasap", untung tiada modal lesap. yang kaya mereka yang menjadi penipu dengan pelbagai nama skim.
Kenapa kita tidak cuba mendalami ilmu projek rumah walet ini kemudian membuat ketetapan untuk terus menceburinya dengan penuh keyakinan.Soal modal adalah masalah biasa yang sering dikatakan oleh orang kita apabila hendak menceburi bidang ini. Mana nak ada RM300,000.00!! Setakat RM5,000 - RM6,000 adalah! mana nak boleh buat. Itu percakapan-percakapan yang sering diucap.
Bagaimana kalau saya terangkan satu idea yang mungkin dapat menyelesaikan persoalan itu. Bagaimana kalau kita gabungkan modal beberapa orang rakan untuk menjadi modal keseluruhan dalam pelaburan ini. Mungkin beberapa orang, atau beberapa puluh orang, berkongsi modal untuk memulakan projek ini. Tetapi siapa yang boleh dipercayai dan boleh mengurus modal dan pelaburan ini dengan baik dan beramanah untuk melaksanakan projek ini?
Carilah mereka yang boleh dipercayai, mempunyai pengetahuan dan pengalaman, mempunyai latarbelakang peribadi dan perniagaan yang baik untuk menguruskannya untuk kumpulan anda.
Jika anda berminat dan menerima idea ini anda juga boleh berurusan dengan syarikat kami yang mula mengorak langkah daripada projek rumah walet kepunyaan sendiri dan kini sedang mencari pelabur-pelabur yang berminat untuk menceburi projek ini tetapi kurang dari aspek pengetahuan, pengalaman, pengurusan dan lokasi untuk sama-sama menikmati hasil daripada perniagaan ini.
Sebelum anda melabur kami akan memberi penerangan yang secukupnya kepada anda, kemudian berfikir dan membuat keputusan. Keputusan terletak di tangan anda kami sekadar memberi idea. Jika anda mahu implemantasikan idea ini sendirian pun bukan menjadi masalah. Kami hanya membuka jalan untuk anda merebut peluang yang ada demi agama dan bangsa. Lillahi taala.
Fikir dan renungkanlah.

Untuk keterangan lanjut anda boleh hubungi;
TH Noordin bin Yusop (0195597796) atau
Hjh Siti (0195587796)

Ahad, 21 Februari 2010

KENAPA KITA PERLU BERTINDAK SEKARANG

Apabila berbicara tentang industri sarang burung walet timbul rasa rugi mengenangkan masa yang berlalu tanpa tindakan apa-apa mempelajari atau terus menceburi dalam industri ini.
Kisah ini bermula lebih kurang 15 tahun yang lalu. Masa itu isteri saya bekerja dengan salah satu majlis daerah di utara semenanjung.Pada masa itu telah ada pengusaha rumah burung walet yang mengusahakan rumah burung secara haram. Apabila ada laporan daripada penduduk kepada Majlis Daerah yang mendakwa rumah burung ini menganggu dari segi bunyi dan kekotoran, maka pihak majlis daerahpun terpaksa menyiasat perkara tersebut. Akhirnya pihak majlis mendapati bahawa rumah burung walet ini tidak mendatangkan sebarang pencemaran yang keterlaluan dari segi bunyi dan tiada pencemaran dari najis burung walet tersebut. Tetapi hanya kesalahan pengusaha pada masa itu kerana mengusahakan tanpa lesen (memang tiada lesen untuk rumah walet pada masa itu).Akhirnya perkara itu berakhir begitu sahaja.
Tetapi menjelang tahun 2000an kesedaran tentang keupayaan industri sarang burung walet ini menjana pendapatan yang lumayan telah mula berkembang dengan drastik sekali. Sehingga kini telah menjana berbilion ringgit Malaysia eksport negara.
Namun begitu sebahagian besar pemain dalam industri ini adalah dari kalangan pengusaha-pengusaha bukan melayu terutamanya daripada masyarakat cina. Pengusaha-pengusaha ini telah lama bergiat dalam industri ini secara senyap. Telah banyak dalam kalangan mereka yang bergelar jutawan. Ada yang menjana puluhan juta ringgit malaysia setahun hasil daripada sarang burung walet (jika ditanya jawapan "tak boleh duit" akan kita perolehi).Pengusaha bumiputera hanyalah berjumlah 8% dalam industri ini.Itupun pengusaha-pengusaha baru yang lebih kurang 5 tahun menceburi industri ini.
Kenapa kita tidak bertindak 15 tahun lalu untuk menceburi industri ini?
Mungkin kerana belum ada kesedaran atau kepakaran. Kenapa kita perlu bertindak sekarang? Kerana sekaranglah masa yang paling sesuai untuk kita bertindak, kerana dengan kesedaran dan kepakaran kita boleh bergerak sekarang. Banyak pengusaha bumiputera yang telah mempunyai kepakaran dalam industri ini. Ataupun kita boleh menggunakan kepakaran rakan-rakan kita dari kalangan kaum cina.Industri ini bukan tertutup lagi. Semua orang tahu, hanya kemahuan sahaja yang membataskan tindakan kita. Kenapa kita tidak perlu menangguhkan lagi tindakan kita? Kerana setiap masa yang berlalu adalah berharga. Contohnya jika kita mulakan projek rumah walet kita pada Februari 2010, insyaAllah Februari 2011 kita boleh memperoleh hasilnya yang pertama. Jika kita bermula pada Februari 2011 maka kita akan hanya memperoleh hasil yang pertama pada Februari 2012. Pada masa itu sepatutnya kita telah memperoleh hasil tahun kedua yang berlipat kali ganda daripada hasil tahun pertama. Alangkah ruginya kita pada masa itu. Sedangkan pelaburan untuk projek itu akan bertambah mahal dari tahun ke tahun(kos bahan meningkat sekitar 15% setahun).
Jadi, jangan tunggu lagi, bertindak sekarang bagi menjana pendapatan pasif anda. Juga demi meningkatkan martabat diri, bangsa dan agama.
Jika anda berminat boleh hubungi saya. Saya sedia membantu. Bersama-sama kita ceburi dan menikmati hasilnya. Tak kenal maka tak cinta. Ayuh bertindak sekarang!!!

Sabtu, 20 Februari 2010

Kemana arah industri burung walet

Pada waktu ini pelbagai industri berasaskan perniagaan pertanian muncul dengan janji dan prospek yang berbagai-bagai.Industri penternakan lintah, penternakan cacing, penternakan ketam nipah, penternakan kelisa datang bersama-sama dengan gahnya penternakan burung walet. Tetapi sejauhmana setiap industri ini membawa pulangan yang diharapkan, adalah menjadi tanggungjawab pelabur sendiri untuk menilainya.
Secara umumnya, beberapa faktor yang perlu diberi perhatian oleh pelabur sebelum melaburkan wang dalam industri-industri ini agar pelaburan yang dibuat mendatangkan pulangan yang baik.
1. Adakah telah banyak telah banyak berjaya dalam industri ini?
2. Adakah pelaburan kita berisiko tinggi atau tidak?
3. Berapakah pulangan yang dijangka berbanding pelaburan yang dibuat?
4. Adakah kos tetap dan kos berubah meningkat dari semasa ke semasa?
5. Adakah prospek semasa dan hadapan semakin berkembang atau menguncup?

Untuk mendapat jawapan kepada soalan di atas, kajian yang mengambil sedikit masa perlu kita ambil. Tetapi untuk lebih mudah, dapatkan jawapan yang konkrit daripada mereka yang telah lama bergiat dalam industri tersebut dan lihat latarbelakang mereka sama ada boleh dipercayai atau tidak.
Jika jawapan dalam penternakan burung walet, cubalah anda melihat jawapan ini dengan teliti dan berfikirlah langkah seterusnya.
1. Beribu-ribu orang pengusaha rumah walet wujud di Malaysia dan menjana lebih 1.5 billion ringgit malaysia setahun untuk eksport sarang burung walet.
2. Setiap pelaburan ada risikonya (itu baru dikatakan perniagaan bukan bunga. Tetapi pelaburan dalam penternakan burung walet berisiko rendah, kerana kos modal hanya sekali seumur hidup dan boleh diperbaharui jika berlaku risiko kegagalan (akan dibincangkan pada akan datang).
3 Pulangan yang dijangka akan bertambah setiap tahun.
4. Kos tetap hanya sekali sahaja manakala kos berubah pada tahap paling minimum.
5. Prospek semasa adalah melebihi penawaran dan prospek masa depan semakin berkembang mengikut peningkatan jumlah penduduk dunia dan taraf ekonomi penduduk dunia.
Fikirkanlah, jika anda mahukan jawapan yang lebih konkrit dan jelas, hadirilah seminar-seminar perusahaan sarang burung walet atau hubungi saya, insyaAllah kita boleh berdiskusi lebih dalam tentang pelaburan anda dalam industri sarang burung walet ini.

Renungkan dan fikirkanlah sebelum terlambat. Masa tidak menunggu kita. Jika orang boleh berjaya kenapa kita tidak.