Jumaat, 9 April 2010

BILA KITA BERBICARA

    Beberapa hari yang lepas seorang penternak walet menelefon saya. Setelah memperkenalkan diri, dan berbual serba sedikit sebenarnya kami sudah mengetahui serba sedikit tentang diri masing-masing tetapi belum pernah berjumpa atau berbual sahaja.
Cerita awal kami berkisar tentang rumah walet masing-masing sehinggalah kepada projek akan datang. Beliau menceritakan yang dia mahu menggunakan khidmat “pakar” rumah burung yang baru disebabkan pakar dahulu mengenakan caj yang tinggi. Manakala pakar yang baru ini mengenakan caj yang rendah dan telah terbukti kerjanya berdasarkan cerita dan gambar-gambar yang ditunjukkan.

    Alhamdulillah, akhirnya beliau memperoleh pakar seperti yang dicari. Sebenarnya bukan tinggi atau rendah kos yang menjadi ukuran terjelmanya sebuah rumah walet tersebut. Tetapi bergantung kepada berapa banyak pakar dalam kalangan orang Melayu kita, sejauhmana ikhlas dalam membantu ekonomi orang Melayu. Sebelum ini tidak banyak orang melayu yang boleh membina rumah walet dan tak banyak yang mahir dalam selok-belok penternakan ini. Jadi siapa yang boleh membantu maka dialah yang kita cari. Soal kos perkara kedua.

    Sebenarnya kita perlu ingat bahawa daripada pakar yang mulalah kita dapat menceburkan diri dalam bidang ini. Kelemahan atau kekurangan beliau anggaplah sebagai pengetahuan yang perlu “dibeli” (seperti dalam tulisan saya yang lalu). Tak perlulah kita jadi seperti peribahasa “habis manis, sepah dibuang”, “Sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi”.

    Pesanan saya juga kepada “pakar-pakar” rumah walet janganlah selalu mendabik dada seolah-olah kitalah yang terbaik, sehingga “pakar” lain tak berkemampuan langsung. Sebenarnya sepakar manapun kita, kita hanya hamba Allah yang lemah. Kita hanya boleh merancang tetapi Allah yang menentukan. Jangan takbur (perbuatan/percakapan/hati) kerana orang yang takbur dibenci Allah. Bila Allah benci semua pekerjaan tidak menjadi.

    Pesanan kepada diri saya dan penternak walet semua, sentiasalah bersyukur kerana syukur menambah rezeki.Terus berdoa dan mengamalkan 15 perkara untuk menjadi kaya (akan saya terangkan dalam tulisan akan datang) dalam kehidupan kita seharian.

    Maaf jika tulisan saya kali ini menyentuh peribadi sesiapa. Tetapi ketahuilah bahawa niat saya hanya satu iaitu agar kita sentiasa berbaik sangka antara sesama kita orang Islam khasnya sesama penternak walet agar kejayaan, kemajuan dan kekayaan sama-sama kita capai dengan keredhaan Allah yang Maha Kuasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan