Rabu, 7 April 2010

RUMAH WALET

      Dalam kesibukan kerja-kerja utama minggu lepas, sempat juga saya menyelesaikan beberapa perkara tentang rumah walet. Membuat ujian suara kawasan walet, membuat anggaran untuk pembinaan rumah wallet dan melawat kawasan tapak baru untuk pembinaan rumah walet.

     Seorang rakan yang memang lama telah berminat dengan penternakan walet ini, secara kebetulan berada di kawasan saya mengadakan ujian kawasan walet dan dia telah menghubungi saya untuk mengenalpasti burung dan potensi kawasan berdekatan ladang kelapa sawit beliau. Pada petang Jumaat 2 April saya telah pergi ke lokasi tersebut untuk membuat ujian kawasan. Daripada ujian tersebut rakan saya itu amat teruja dengan kehadiran beribu-ribu ekor burung walet yang mengelilingi kereta saya. Daripada penerangan saya rakan saya faham apakah kepentingan mengadakan ujian ini dan apakah potensi sebenar kawasan tersebut.

      Dia juga meminta saya membuat anggaran untuk ubahsuai rumah sedia ada di ladang tersebut untuk dijadikan rumah walet. InsyaAllah kalau diizinkan mungkin dalam masa terdekat ini akan terlaksanalah projek ubahsuai untuk rumah walet itu. Untuk rakan saya ini saya cadangkan dia menggunakan spesifikasi yang saya sediakan dan menggunakan kemahiran tukang kayu tempatan untuk membina dan mengubahsuai rumah itu. Ini akan menjimatkan kos pembinaan dan saya hanya akan membantu dari segi pemasangan sistem bunyi dan kayu sirip sahaja. Sebenarnya bagi saya itu sahajalah bantuan yang saya boleh beri dalam merealisasikan impian rumah walet dan seterusnya membantu dalam meningkatkan penguasaan orang Melayu dalam penternakan burung walet.

      Jika anda perlukan bantuan boleh hubungi saya. Saya sedia membantu anda dalam penernakan burung walet dengan seadanya. Bukan keuntungan yang saya cari tetapi sekadar menumpang bangga jika banyak orang Melayu yang maju dan berjaya. Bukan saya beretorik, tetapi itulah kenyataannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan