Jumaat, 19 Mac 2010

KISAH WALET KITA

    Beberapa hari yang lepas saya ke Pejabat MARA daerah, bagi membentang satu kertas kerja program yang saya rancang dengan kerjasama MARA untuk dilaksanakan. Selepas membentang kertas kerja tersebut sempat juga sembang-sembang dengan pegawai MARA daerah tentang bisnes-bisnes peniaga MARA dan bantuan-bantuan yang dihulurkan kepada usahawan dan peniaga di bawah MARA.
    Daripada apa yang saya dimaklumkan, dapat saya simpulkan bahawa betapa mewah dan bertuahnya peniaga Melayu dalam meneroka bidang perniagaan dan keusahawanan. Ada sahaja bantuan dan pinjaman yang diberikan untuk memulakan dan memajukan perniagaan.
    Tetapi malangnya sebahagian besar peniaga dan usahawan yang mendapat peruntukan bantuan dan pinjaman kewangan daripada MARA gagal memanfaatkannya dengan baik demi survival orang Melayu. Banyak yang diberi pinjaman gagal memanfaatkan pinjaman tersebut untuk memulakan perniagaan dan akhirnya menjadi liabiliti kepada pihak MARA, apabila terpaksa menjadi pemungut hutang dan kadang kala menjadi seperti peminta sedekah kepada peminjam MARA.

    Ada beberapa usahawan yang membuat pinjaman MARA sehingga RM250,000 3 tahun yang lalu untuk mengusahakan penternakan walet yang akhirnya berkubur begitu sahaja. Projek kemana, burung kemana, duit pinjaman pun entah kemana. Kalau ikut-ikut saya RM250,000 kita boleh bina 3 tingkat atau 4 tingkat bangunan berkeluasan 20’ X 70’.

    Wah, besar tu! Kalau 3 tahun lepas dah bina rumah walet sebesar tu, maknanya sekarang pendapatan boleh menjangkau puluhan ribu ringgit sebulan. Kalau kena gayanya dah boleh digelar jutawan pada tahun 2010 ni. Tapi apa dah jadi, projek yang dibuat tu “ke langit tak sampai, ke bumi tak jejak”. Kalau bahasa koporat kita kata tak ada status. Apa dah jadi? Sayang duit beratus ribu hilang macam tu saja.

    Ada masalah di sini sana. Masalah konsultan, masalah tanah, dan pelbagai masalah lagi yang dijadikan sebagai alasan untuk tidak berjaya. Tetapi apa yang dikesalkan sebab kegagalan projek-projek yang terdahulu, MARA telah membekukan sebarang pinjaman untuk projek rumah walet. Siapa yang rugi? Kita dan bangsa kita juga yang rugi. Kalau pengusaha merancang dengan baik projek mereka, sekarang insyaAllah akan wujud jutawan Melayu di kawasan ini, dan banyak lagi yang boleh dibantu oleh MARA untuk menjadi jutawan walet. Apa nak buat nasi dah jadi bubur, kesal pun tak guna.

    Apa yang perlu sekarang ini, pesanan kepada diri saya dan mereka yang hendak menceburi bidang ini supaya membuat perancangan yang teliti, penuhkan ilmu pengetahuan dan gunakan akal fikiran yang waras untuk memikirkan baik buruk sesuatu tindakan. Jika hendak mencari konsultan membina rumah waletpun kaji dengan teliti dan dapatkan bantuan mereka yang ikhlas membantu untuk membimbing anda dalam selok belok penternakan walet.

    Kalau perlukan bantuan saya sedia membantu anda untuk merealisasikan impian anda mempunyai sebuah rumah walet yang berkualiti. Bersama kita menjana pertumbuhan ekonomi bangsa melayu agar setanding dengan bangsa-bangsa lain di negara kita. "Bantu-membantu demi kemajuan Ummah"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan