Selasa, 9 Mac 2010

WALET! OH WALET!

    Pada hujung minggu yang lepas seorang pengunjung yang menghubungi haji bertanyakan tentang penternakan burung walet ini. Untuk makluman semua inilah pengunjung pertama yang menghubungi haji sejak blog ini dijana. Haji rasa teruja kerana blog ini boleh memberi manafaat kepada peminat atau mereka yang mahu berjinak-jinak dengan industri penternakan burung walet ini. Seperti yang haji katakan sebelum ini, blog ini dijana bukanlah untuk memperoleh keuntungan peribadi, tetapi untuk memberi ruang dan peluang kepada kalangan bumiputera menjana pendapatan baru secara pasif.
    Begitu besar potensi kita orang-orang Melayu dalam industri ini. Kita banyak tanah pertanian seperti ini. Ada yang telah menggunakan potensi itu untuk menjana pendapatan pasif tersebut. Tetapi berapa ramai? Mungkin dalam lingkungan 2% atau kurang yang mengekploitasinya. Bagi yang lain bagaimana? Kenapa kita kita tidak bertindak sekarang? Jangan kita asyik beretorik dengan alasan-alasan yang akhirnya menunjukkan kelemahan kita. Jangan asyik tunggu disuap, baru boleh makan akhirnya menunding jari kepada orang lain atas kekurangan diri sendiri. Usaha kita dimana? Potensi yang ada kenapa tidak digunakan. Cepat bertindak sebelum terlambat. Nanti siapa yang rugi? Kita dan keluarga kita yang rugi.
Mungkin kita tinggal di bandar tetapi ada tanah sekangkang kera di kampung. Semasa cuti, semasa menjenguk emak dan ayah di kampung, tinjau-tinjaulah tanah sekangkang kera itu. Kerana tanah itu mungkin akan bernilai jutaan ringgit sepuluh tahun lagi kalau kena gayanya.
    Kalau ingin bantuan Haji Din sedia membantu. Kekayaan bukan untuk digenggam tetapi untuk dikongsi. Kekayaan kita, kekayaan agama dan bangsa kita. Hina besi kerana karat, hina manusia kerana miskin. Renung-renung, fikir-fikir dan bertindaklah sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan